Dikuasakan oleh Blogger.

Islam larang main mercun

>> Selasa, 2 Oktober 2007




Isu mercun cukup sebati dengan musim perayaan. Saban tahun setiap kali musim perayaan, pasti ada kes berkaitan mercun atau tragedi malang membabitkan kanak-kanak menjadi mangsa mercun.

Isu ini sudah sebati dalam masyarakat, malah seolah-olah menjadi tradisi setiap kali menjelang Ramadan dan kes sedemikian sepatutnya dapat dielakkan itu masih berlaku.


Pelbagai usaha diambil kerajaan untuk mengatasi masalah ini melalui Akta Bahan Letupan 1957. Seksyen 4 (2) akta tersebut memperuntukkan undang-undang sesiapa yang bersalah mengilang, memiliki dan mengimport mercun atau bunga api, boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Selain itu, tangkapan kerana kesalahan memiliki, menjual dan menyeludup mercun juga dibuat pihak penguat kuasa tetapi penjualan dan penyeludupan mercun masih berleluasa.

Buktinya, setiap kali Ramadan tiba, pasti ada penjualan bahan mercun, malah penjual tersebut terang-terang mempamerkan bahan larangan tersebut di khalayak ramai.

Orang ramai masih kurang mengambil berat dan menyedari bahaya bermain mercun. Ada segelintir ibu bapa memainkan peranan membeli mercun untuk anak-anak tanpa menyedari kemungkinan barang larangan tersebut mengundang padah.

Dalam hal ini, pendekatan agama boleh dilakukan bagi menyedarkan masyarakat bahaya bermain mercun dan jelas ia mengundang bahaya yang boleh memudaratkan diri sendiri. Islam

sebagai agama yang merangkumi segala aspek dan ruang kehidupan baik di dunia mahupun di akhirat. Islam menjelaskan tatacara hidup yang lengkap dan mempunyai prinsip tersendiri

dan selari dengan kehendak syariah bagi menjamin objektif syariah (maqasid al-syariah) dalam erti kata yang sebenarnya.

Sebenarnya apa yang telah dilakukan oleh kerajaan dengan penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang bahan letupan adalah tanggungjawab kerajaan. Perkara ini telah diiktiraf oleh Islam melalui konsep al-masalih al-mursalah. Oleh itu, menjadi kewajipan kita semua mentaati dan memahami apa yang telah digariskan oleh kerajaan.

Al-masalih al-mursalah bermaksud kepentingan dan kepentingan yang tidak disebutkan oleh secara jelas dan terang dalam nas iaitu al-Quran dan hadis. Oleh itu, kepentingan dan keperluan undang-undang yang berkaitan dengan bahan letupan itu selari dengan kehendak ajaran Islam.

Sekiranya perbuatan bermain mercun dilihat dari perspektif maqasid al-syariah ia boleh dikategorikan dalam konsep pemeliharaan nyawa (hifzu al-nafs).

Amanah

Islam menyuruh menjaga nyawa kepada kelangsungan kehidupan manusia supaya dapat terus menjalankan tanggungjawab dan amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi. Maka, tujuan ini memberi kepastian bahawa perbuatan-perbuatan yang menjejaskan nyawa dan tubuh badan adalah dilarang.

Oleh itu, perbuatan bermain mercun yang membabitkan kecederaan yang serius sehingga ada mangsa yang cacat, malah ada yang buta akibat bermain mercun adalah dilarang keras oleh Islam. Hakikatnya, maqasid al-syariah telah menggariskan panduan hidup untuk manusia sejagat di dalam semua aspek kehidupan.

Sebaliknya, sebarang usaha untuk menyelamatkan nyawa manusia atau memperbaiki tahap kesejahteraan dan kesihatan manusia adalah amat digalakkan manakala perkara-perkara yang boleh memudaratkan, melakukan perbuatan yang boleh mengundang padah dan mencacatkan anggota badan adalah dilarang sama sekali.

Dalam konteks yang lebih luas dapat difahami bahawa bermain mercun merupakan satu perbuatan yang salah dan dilarang oleh Islam kerana impak dan akibat amalan bermain mercun jelas membawa kepada kemudaratan kepada pemain mercun itu.

Akan tetapi, masyarakat hari ini memandang ringan dan remeh berkaitan bermain mercun seolah-olah ia tidak menjadi kesalahan. Tahap kesedaran masyarakat khususnya ibubapa masih kurang, malah di tahap membimbangkan.

Inilah penyakit yang menjadi barah dalam masyarakat yang belum dapat diubati. Saban tahun pasti kedengaran ada mangsa akibat bermain mercun. Apa yang mengecewakan dan menyedihkan ialah rata-rata mangsa terdiri daripada kanak-kanak pertengahan umur.

Oleh itu, peranan ibu bapa amat penting dalam membentuk peribadi dan sahsiah anak-anak. Ibu bapa adalah pelindung kepada anak-anak. Perlu diingati bahawa yang menjadi mangsa adalah anak-anak yang tidak tahu erti kecelakaan. Ada pula sesetengah ibu bapa bersikap lepas tangan tanpa mempedulikan apa yang anak lakukan. Rasionalnya, ibu bapa bertanggungjawab secara mutlak menjaga keselamatan anak-anak.

Firman Allah yang bermaksud: Dan belanjakanlah (harta benda kamu ) di jalan Allah, dan janganlah kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan. (al-Baqarah: 195)

Dapat difahami bahawa Allah melarang kita melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kecederaan, kemusnahan dan penderitaan. Amat jelas perbuatan bermain mercun sudah tentu boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan juga kepada orang lain.

Hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas yang bermaksud, “tiada mudarat dan tidak boleh membalas sesuatu kemudaratan dengan mudarat. (Sunan Ibnu Majah)

Secara ilmiah, hadis tersebut menerangkan kepada kita adalah menjadi kewajipan menolak kemudaratan atau kemusnahan sama ada pada diri sendiri atau orang lain.

Oleh itu, perbuatan bermain mercun yang boleh mendatangkan kecederaan anggota tubuh adalah dilarang sama sekali. Kebarangkalian mendapat kecelakaan amat besar. Oleh itu, tindakan menjauhi daripada bermain mercun mestilah diutamakan.

Tindakan kerajaan melarang menjual mercun adalah tepat dan selari dengan kehendak syariah. Menjadi kewajipan kita semua mentaati arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Sewajarnya masyarakat mengetahui bermain mercun adalah dilarang oleh ajaran Islam.

Usaha yang berterusan mesti diteruskan bagi menjelaskan kepada orang ramai melalui pelbagai pendekatan termasuk pendekatan agama supaya gambaran tentang masalah ini dapat diperbetulkan.

Masyarakat perlu dijelaskan tentang garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam melalui prinsip-prinsipnya dan tujuan-tujuan syariah (maqasid al-syariah) yang terkandung di dalamnya.

Menjadi tanggungjawab masyarakat, pihak kerajaan dan ibu bapa di dalam usaha menerapkan nilai-nilai murni dan seterusnya dapat menjamin kehidupan yang lebih sempurna.

* HASBULLAH MAT DAUD ialah pelajar Sarjana, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

0 ulasan:

K A M U S

..::: AL QURAN :::..

Search in the Quran
Search:
Download | Free Code
www.SearchTruth.com

..::: AL HADITH :::..

Search in the Hadith
Search:
in
Download | Free Code
www.SearchTruth.com

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP