Fiqh Ijtihad al-Qaradawi
Oleh: Maszlee Malik
Di dalam buku terbarunya, “Usul Manhaj al-Ijtihad”, pendakwah dan pemikir terkenal dari Iraq, Muhammad Ahmad al-Rashid ada membicarakan tentang Fiqh al-Qaradawi. Buku setebal empat jilid yang membicarakan tentang manhaj Ijtihad dan fatwa bagi para pendakwah itu telah mengambil manhaj atau metod al-Qaradawi sebagai kes studinya. Sebagai seorang yang bukan sahaja mahir dengan fiqh al-Harakah, tetapi juga dengan ilmu hadis, ilmu rijal, ilmu usul al-fiqh dan sejarah Islam, beliau amat-amat mengkagumi al-Qaradawi.
Oleh: Maszlee Malik
Di dalam buku terbarunya, “Usul Manhaj al-Ijtihad”, pendakwah dan pemikir terkenal dari Iraq, Muhammad Ahmad al-Rashid ada membicarakan tentang Fiqh al-Qaradawi. Buku setebal empat jilid yang membicarakan tentang manhaj Ijtihad dan fatwa bagi para pendakwah itu telah mengambil manhaj atau metod al-Qaradawi sebagai kes studinya. Sebagai seorang yang bukan sahaja mahir dengan fiqh al-Harakah, tetapi juga dengan ilmu hadis, ilmu rijal, ilmu usul al-fiqh dan sejarah Islam, beliau amat-amat mengkagumi al-Qaradawi.
Menurut al-Rashid, al-Qaradawi merupakan pelopor metod wasatiyyah (sederhana) di dalam bidang fiqh hukum. Bukan sekadar kemampuannya untuk mengistinbatkan hukum melalui sumber-sumbernya dengan penuh teliti, malah al-Qaradwi turut mengambil kira unsur luaran dan perubahan di dalam mengeluarkan sesuatu fatwa dan ijtihad. Beliau menggelar al-Qaradawi sebagai “mercu tanda keserhadaaan” di dalam beragama. Lebih menarik lagi, metod al-Qaradawi konsisten samada di dalam persoalan hukum mahupun di dalam persoalan dakwah dan harakah. Manhaj al-Qaradawi ini juga dianggap sebagai mithali kepada para pendakwah oleh al-Rashid.
Menurut al-Rashid, al-Qaradawi menekankan kepentingan lima jenis fiqh yang sepatutnya dimiliki oleh para pendakwah dan para ulama. Lima jenis fiqh yang dimaksudkan ialah: 1) Fiqh al-Maqasid. 2) Fiqh al-Awlawiyaat. 3) Fiqh al-Sunan al-Kawniyah. 4) Fiqh al-Muwazanaat. 5) Fiqh al-Ikhtilaf.
Sebelum kita pergi kepada maksud dan perincian tentang kesemua jenis fiqh tersebut, perlulah dijelaskan satu perkara yang amat penting. Fiqh yang dimaksudkan di sini bukanlah fiqh yang difahami secara konvensional, iaitu fiqh hukum hakam, ataupun lebih sempit lagi fiqh berkaitan dengan hukum hakam ibadat seperti solat, puasa, haji dan zakat. Fiqh yang dimaksudkan di sini ialah “ilmu” dan kefahaman mendalam terhadap sesuatu perkara. Berikut adalah huraian mengenai kelima-lima fiqh yang dipromosikan oleh al-Qaradawi: 1) Fiqh al-Maqasid.
Perkataan Maqasid al-Syariah membawa maksud “objektif syariah”. Objektif Syariah membawa maksud, pemahaman terhadap objektif di sebalik pensyariatan hukum-hakam Syariah. Secara ringkasnya, Syariah Islam diutuskan kepada manusia untuk menjaga kepentingan (maslahah) manusia di dunia dan di akhirat. Kepentingan atau maslahah ini dibahagikan kepada tiga peringkat, Daruriyaat (keperluan asasi), Haajiyaat (keperluan kehendak) dan Tahsiniyaat (keperluan pelengkap).
Daruriyaat (keperluan asasi) asasi merupakan keperluan yang paling utama dan yang paling ketara dipelihara oleh Syariat. Daruriyaat telah dibahagikan kepada enam kategori utama, iaitu penjagaan agama, penjagaan nyawa, penjagaan akal, penjagaan harta dan juga penjagaan keturunan serta maruah. Kelima-lima unsur agama, nyawa, akal, harta dan keturunan merupakan unsur yang paling asasi di dalam kehidupan manusia. Jika kelima-lima perkara itu tidak terpelihara, maka kehidupan manusia akan kucar-kacir ataupun akan ditimpa kemudaratan samada di dunia mahupun di akhirat. Maka, Syariat Islam yang diutuskan kepada Nabi Muhammad SAW adalah untuk memelihara kelima-lima unsur tadi.
Berteraskan konsep penjagaan terhadap lima keperluan asasi (Daruriyat) ini dan juga susunan keutamaannya, maka fiqh al-Maqasid diilhamkan. Maka sebarang fatwa yang ingin dihasilkan, ataupun sebarang ijtihad di zaman moden ini hendaklah mengambil kira konsep penjagaan kelima-lima daruriyaat tersebut. Sebarang aktiviti dakwah dan harakah juga hendaklah selari dengan ruh maqasid ini. Pendekatan inilah yang dinamakan sebagai fiqh al-Maqasid oleh al-Qaradawi. 2) Fiqh al-Awlawiyaat
Fiqh al-Awlawiyaat seakan sinonim dengan al-Qaradawi. Tidak keterlaluan jika dikatakan, beliaulah pengasas fiqh al-awlawiyaat. Fiqh al-awlawiyaat bermaksud, seni di dalam mendahulukan mana yang lebih utama berbanding dengan sesuatu yang kurang utama dan tidak utama. Ianya juga membawa maksud mendahulukan sesuatu perkara yang penting berbanding perkara-perkara yang kurang penting dan tidak penting langsung.
Ketiadaan seni seumpama ini akan menjadikan seseorang Muslim dan pendakwah akan menghabiskan masa dengan sesuatu yang kurang penting ataupun tidak penting dan meninggalkan perkara yang lebih penting. Ia juga akan membawa kepada penghabisan tenaga dan usaha dengan melakukan sesuatu yang tidak berfaedah ataupun kurang faedah dan meninggalkan perkara yang lebih berfaedah. Lebih dahsyat lagi, ketiadaan fiqh al-awlawiyaat akan membawa kepada pembaziran waktu dengan perkara-perkara yang mempunyai impak yang kecil ataupun tiada impak serta meninggalkan perkara yang boleh memberikan impak yang lebih kepada Islam ataupun masyarakat.
Contoh bagi fiqh al-awlawiyaat ini boleh didapati di dalam sirah Rasulullah SAW, sebagai contohnya: Rasulullah SAW memulakan pengukuhan aqidah dahulu di Mekah dan tidak memulakan dakwah dengan menghancurkan patung-patung berhala.
Mendahulukan hukum-hakam berkaitan aqidah dan pembentukan jiwa di Mekah sebelum memberikan pertanggung jawaban dari segi hukum-hakam amali.
Fiqh al-awlawiyyat juga menekankan konsep mendahulukan yang usul berbanding perkara-perkara furuk. Mendahulukan amalan yang wajib berbanding dengan amalan-amalan yang sunat. Mendahulukan nas-nas yang qat’i berbanding nas-nas yang zanni. Mendahulukan amalan-amalan yang berbentuk jama’iyy (berjemaah) berbanding dengan amalan-amalan berbentuk fardi. Mendahulukan pengajian terhadap Usul Islam seperti aqidah, ibadat yang fardhu, pemahamahan al-Quran dan hadis sebelum menimba ilmu-ilmu cabang dan furuk.
Di dalam membicarakan persoalan ibadat pula,al-Qaradwi telah mencedok ide-ide al-Ghazali berkaitan keperluan mengetahui tingkatan-tingkatan keutamaan amal ibadat. Beliau juga Mencedok perbincangan Ibn Qayyim al-Jawziyyah mengenai kepentingan dan keutamaan sesuatu amalan berdasarkan situasi, keadaan dan tempat. Contohnya, jihad menjadi amalan paling utama ketika sesebuah negara Muslim diserang oleh tentera kafir. Menuntut ilmu menjadi amalan paling utama di kala para ulama semakin berkurangan, dan lain-lain lagi.
Antara keutamaan (awlawiyaat) yang telah dikemukana oleh al-Qaradawi ialah: a) Keutamaan kualiti berbanding kuantiti. (Samada di dalam beramal ataupun berdakwah) b) Keutamaan ilmu ke atas amal. (Beramal tanpa ilmu akan membawa kepada amalan yang tersilap) c) Keutamaan menghayati Maqasid (objektif) sesuatu perkara yang hendak dilakukan berbanding zahir. d) Keutamaan berijtihad berbanding bertaklid semata-mata. e) Keutamaan menumpukan kepada perkara-perkara yang dipersetujui berbanding perkara-perkara yang diperselisihkan. f) Keutamaan memudahkan dan meringankan berbanding menyusahkan dan membebankan (di dalam fatwa, ijtihad dan dakwah). g) Keutamaan mengislah diri individu sebelum mengislahkan kerajaan dan sistem. h) Keutamaan tarbiyah sebelum berjihad. i) Keutamaan mendepani musuh-musuh Islam berbanding perselisihan sesama umat Islam sendiri. j) Keutamaan memerangi mungkar yang besar dan utama berbanding perkara-perkara furuk dan remeh.
Al-Qaradawi melihat bahawa kehilangan fiqh al-awlawiyaat di persada gerakan Islam akan membawa kepada kepincangan did alam gerakerja dakwah dan islah. Fiqh al-awlawiyat menurut al-Qaradawi juga menuntut agar para pendakwah bersatu, mencari persamaan berbanding perbezaan, berlapang dada dengan perbezaan, dan mengenali musuh mereka. Perbezaan pendapat di kalangan pejuang Islam bukanlah alasan untuk mereka bersatu.
Al-Qaradawi juga menegur sikap sesetengah umat Islam yang terlalu mementingkan perkara-perkara sunat tetapi meninggalkan perkara-perkara yang wajib. Beliau mengambil contoh betapa ada di antara umat Islam yang menghabiskan wang mereka untuk menunaikan haji dan umrah sunat dan tidak menginfaqkan harta mereka untuk tujuan dakwah, propaganda Islam, penubuhan sekolah-sekolah Islam dan lain-lain tujuan yang lebih besar manfaatnya buat umat. Beliau juga menegur sikap sesetengah golongan yang amat menitik beratkan persoalan sunat dan adab tetapi di dalam waktu yang sama meninggalkan persoalan yang lebih besar seperti membina kekuatan umat, cemerlang di dalam pelajaran, perniagaan dan kerjaya demi memartabatkan umat Islam. 3) Fiqh al-Sunan al-Kawniyyah
Keperluan untuk memahami peraturan alam yang telah diciptakan oleh Allah SWT amat penting kepada para ulama dan para pendakwah. Kegagalan memahami peraturan alam ciptaan Allah SWT akan membawa kepada usaha yang melawan arus dan berakhir dengan kegagalan. Yang dimaksudkan dengan Fiqh As-Sunan adalah kefahaman terhadap undang-undang dan peraturan-peraturan (Al-kawn) ciptaan Allah di alam maya ini, yang tetap dan tidak berubah dari masa ke semasa. Iaitu memahami realiti dan natijah sesuatu kejadian khususnya dalam peraturan politik dan kemasyarakatan.
Ini berpandukan firman Allah: “Maka sekali-kali kamu tidak akan mendapat penggantian bagi sunnah Allah, dan sekali-kali tidak (pula) akan menemui penyimpangan bagi sunnah Allah”. (Surah Fathir ayat 43)
Peraturan ini merupakan hukum alam atau sunnatullah yang berlaku dan berulang-ulang berlaku pada setiap zaman dan setiap waktu. Terdapat satu undang-undang yang tetap dan unsur sebab-musabab dalam hukum-hukum alam. Oleh itu ia wajib dikaji dan difahami seperti sunnah perubahan, sunnah kemenangan golongan terdahulu, sunnah kegagalan mereka, sunnah kekalahan pada sejarah silam dan seumpamanya.
4) Fiqh al-Muwazanaat
Fiqh al-Muwazanaat (ilmu di dalam membuat pertimbangan) yang dimaksudkan oleh al-Qaradawi adalah seni membuat pertimbangan yang rasional sebelum membuat sesuatu keputusan. Di dalam bidang ijtihad, fatwa, hukum dan dakwah pula ia bermaksud seni mempertimbangkan perkara-perkara berkaitan dan keadaan yang wujud sebelum mengeluarkan sesuatu ijtihad, fatwa, hukum dan keputusan berkaitan dakwah serta harakah.
Tiga dimensi utama di dalam fiqh al-Muwazanaat adalah:
i) Mempertimbangkan di antara kepentingan-kepentingan (masaalih) yang wujud akibat keputusan yang akan dibuat. Maksudnya, kepetingan manakah yang perlu diutamankan dan dijadikan pilihan di dalam membuat keputusan. ii) Mempertimbangkan di antara kemudaratan-kemudaratan (mafasid) yang perlu dielakkan. Maksudnya, di dalam keadaan berdepan dengan pilihan yang kesemuanya mengundang kemudaratan dan tiada ruang keluar, maka semua kemudaratan itu dipertimbangkan. Kemudaratan yang paling besar impaknya perlulah dielakkan berbanding dengan yang lebih kurang impaknya. iii) Mempertimbangkan di antara kepentingan dan kemudaratan. Maksudnya, jika keputusan yang bakal diambil mempunyai dua konsekuensi, satu mengundang kebaikan dan satu lagi mengundang kemudaratan, maka yang lebih baik itulah yang mesti dipilih. Fiqh al-muwazanaat ini bukanlah perkara baru yang dicipta oleh al-Qaradawi. Para ulama terkemuka sebelumnya telah membincangkan konsep yang sama. Bezanya, mereka tidak menggunakan perkataan fiqh al-muwazanaat sahaja. Al-Ghazali di dalam kitab al-Mustasfa, al-Shatibi di dalam kitab al-Muwafaqaat, dan lain-lain ulama di dalam kitab Qawa’id al-Fiqhiyyah adalah di antara mereka yang sering menggunakan konsep-konsep fiqh al-Muwazanaat.
Ibn Taymiyah sendiri di dalam buku al-Siyasah al-Syar’iyyah telah membincangkan persoalan ini ketika membicarakan persoalan bekerja dengan pemimpin yang zalim. Menurut Ibn Taymiyah, harus seorang yang soleh itu bekerja dengan pemimpin yang zalim demi mengurangkan kezaliman si pemimpin tersebut.
Al-Rashid memberikan contoh aplikasi fiqh al-Muwazanaat ini di dalam pengalaman gerakan-gerakan Islam di serata dunia. Antaranya, pengalaman penyertaan gerakan Islam Islam di Sudan ke dalam koalisi Sosialis Sudan. Antara yang lain juga, koalisi gerakan Islam di Syria dengan parti-parti bukan Islam di dalam barisan pembangkang dan lain-lain lagi.
Di dalam bidang ijtihad hukum pula,al-Qaradawi telah mengeluarkan beberapa fatwa menggunakan neraca fiqh al-Muwazanaat, antaranya:
a) Keharusan bekerja di dalam syarikat yang mempunyai urusniaga riba,dengan syarat, sebahagian daripada gaji disedekahkan untuk menyucikan duit pendapatan. b) Keharusan bekerja di bank konvensional demi menimba pengalaman untuk membuka dan memajukan bank-bank Islam. c) Keharusan menulis di dalam akhbar-akhbar bukan Islam untuk tujuan berdakwah dan menyampaikan mesej Islam.
5) Fiqh al-Ikhtilaf
Fiqh al-Ikhtilaf membawa maksud seni di dalam menguruskan perbezaan di antara umat Islam. Melalui ide fiqh al-Ikhtilaf, al-Qaradawi telah cuba untuk membawa umat Islam menguruskan perbezaan mereka agar umat Islam tidak dilekakan dengan perpecahan dan percakaran sesama sendiri yang tidak menguntungkan. Belia menekakan bahawa Islam amat mementingkan kesatuan, dan perbezaan adalah sesuatu yang fitrah dan tidak dapat dielakkan. Menyaragamkan umat Islam di dalam semua perkara adalah mustahil dan bertentangan dengan fitrah manusia itu sendiri. Maka, yang sepatutnya diusahakan ialah bagaimana menyatukan umat Islam di dalam kepelbagian mereka.
Al-Qaradawi menyeru kepada bebepara perkara di dalam isi kandungan fiqh al-Ikhtilaf, antaranya: a) Umat Islam hendaklah berlapang di dalam perbezaan perkara yang furuk dan ranting. b) Umat Islam hendaklah mengambil jalan moderat dan pertengahan di dalam beragama. Jalan ekstrim dan berlebihan akan membawa kepada kehancuran. c) Umat Islam hendaklah mengutamakan perkara yang dipersetujui berbanding perkara yang dipertelingkahkan. d) Umat Islam diseru agar menghormati perkara-perkara yang diijtihadkan, dan tidak taksub dengan pendapat ataupun ijtihad sendiri sahaja. e) Umat Islam diseru untuk melihat pendapat-pendapat ulama secara adil dan menyeluruh. Sikap hanya mementingkan pendapat sendiri dan tidak melihat pandangan orang lain adalah dicel dan bertentangan dengan ruh kesatuan. f) Umat Islam hendaklah bersatu di dalam menghadapi masalah bersama mereka yang lebih besarseperti isu Palestin, isu penjajahan, isu Kristianisasi dan lain-lain. g) Umat Islam diseru agar bekerjasama di dalam perkara-perkara yang disepakati dan bermaafan di dalam perkara-perkara yang diperselisihkan. h) Umat Islam juga diseru agar tidak mengkafirkan sesama Muslim. Fiqh al-Ikhtilaf yang dilontarkan oleh al-Qaradwi ini bertitik tolak dari kesedaran beliau agar umat Islam dapat memahami satu sama lain. Beliau amat terkesan dengan perpecahan yang berlaku di antara par apejuang Islam dan gerakan-gerakan Islam. Maka fiqh al-Ikhtilaf menjadi solusi kepada persoalan tersebut.
Kelima-lima fiqh ini merupakan asas untuk menguasai fiqh al-waqi’ yang diperjuangkan oleh al-Qaradawi. fiqh al-waqi' adalah ilmu yang membincangkan bagaimana para ulama, para pendakwah dan gerakan Islam dapat memahami keadaan semasa, faktor-faktor yang mengesani serta kuasa-kuasa yang sedang mendominasi perjalanan masyarakat. Ilmu ini melibatkan satu proses untuk mengenalpasti, menganalisis dan mentafsir isu, trend, anjakan paradigma, sentimen dan fenomena yang wujud dalam masyarakat. Dr. Yusuf Al-Qardawi menyatakan bahawa tuntutan kontemporari fiqh asy-syariah hanya dapat dipenuhi dengan kefahaman yang baik terhadap fiqh al-waqi'.
Kepentingan fiqh al-waqi’ kepada para ulama dan juga para pendakwah tidak dapat dinafikan. Tanpa kefahaman mengenai realiti terdahap perubahan suasana dan tempat, seseorang ulama akan mengeluarkan ijtihad di luar konteks, para pendakwah pula akan hilang arah di dalam menyikapi golongan sasaran, dan gerakan Islam mungkin akan terpinggir dari arus perdana dan kehilangan peluang untuk melakukan sesuatu perubahan.
Setelah membincangkan tentang sikap al-Qaradawi, al-Rashid di akhir makalahnya mengatakan bahawa jelaslah bahawa pemikiran dan pendekatan al-Qaradawi adalah serasi dan seiring dengan pemikiran beliau...Anda pula bagaimana?
Lawati: http://maszleemalik.blogspot.com
Read more...